Memelihara haiwan antara satu usaha murni terutama untuk membentuk sikap bertanggungjawab dan cintakan haiwan. Adakah anda terus bersetuju, selain memikirkan apa bakal dihadapi haiwan itu seperti mati atau sakit kerana tidak tahu menjaganya dengan sempurna atau anda hanya menuruti kemahuannya itu tanpa mahu melayan kerenahnya yang bukan-bukan?
Selain orang dewasa, kanak-kanak amat gemar haiwan. Hamster, kucing dan arnab antara haiwan peliharaan yang paling popular kerana cirinya yang suka bermain, menarik dan mudah dijaga berbanding dengan haiwan lain.
Menjaga haiwan perlu dilakukan dengan kasih sayang dan sepenuh jiwa. Menganggap ia sebagai sebahagian daripada ahli keluarga, individu perlu pastikan persekitarannya bersih dan melalui pemeriksaan di klinik haiwan secara berkala bagi memastikan ia terus sihat dan cantik.
INFO : Tip menjaga haiwan peliharaan
Lokasi rumah anda seharusnya sesuai untuk meletakkan haiwan peliharaan. Begitu juga kawasan kejiranan, adakah lokasi di situ membenarkan haiwan di bela.
Ramai orang gagal menjawab soalan ini pada peringkat awal lagi, hinggakan pada peringkat akhir ia sarat dengan rasa bersalah kerana ia ia mungkin perlu bersama kita hingga lebih 10 tahun. Adakah anak anda memang memerlukan ia sebagai teman atau sekadar mengisi masa lapang atau terikut-ikut?
Menjaganya sama seperti membesarkan anak kecil. Anda perlu bersedia dengan ‘aksesori’ diperlukan seperti suntikan dan makanan berkhasiat untuk memastikan ia kekal cergas? Apabila anak anda sibuk dengan tugas sekolahnya, anda pula perlu memperuntukkan masa dengan haiwan terbabit. Anda ada masa? Ramai yang gagal, maka pada peringkat akhir haiwan itu dibuang begitu saja. Sampaikah hati anda membuangnya di tepi jalan atau biarkan ia terus tidak cukup zat makanan dan mati?
Kanak-kanak mudah teruja apa yang dilihatnya, tetapi itu bukan ukuran dia sebenarnya sudah bersedia dengan tanggungjawab. Kanak-kanak berusia sembilan tahun ke atas mungkin sudah bersedia. Anda juga patut memikirkan kesanggupan diri anda. Adakah anda mempunyai masa sekiranya anak anak mulai bosan dengan haiwan peliharaannya atau bagaimana sekiranya anda jenis kerap balik kampung? Sanggup anda ‘mengangkutnya’ balik kampung bersama?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan